GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes seorang pemandu kereta yang melemparkan tohmahan ke atas anggota trafik selepas disaman di daerah ini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, terdahulu pihaknya mengesan perkara itu selepas tular di Facebook pada 8.40 malam.

"Kiriman itu memaparkan mesej rasa tidak puas hati individu terbabit dengan seorang anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuala Selangor.

"Anggota trafik mengeluarkan saman ke atas pemandu itu atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Keretanya ditahan semasa 'snap check' (pemeriksaan) dijalankan di Jalan Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya pada 9.45 pagi, 2 Mac lalu (kelmarin)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ramli berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu itu turut tidak membawa kad pengenalan dan lesen memandu.

Beliau berkata, tindakan saman mengikut Kaedah-Kaedah Kereta Motor 1978 (Pindaan 2008) dikenakan ke atas pemandu itu atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

"Ornag ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur khabar angin dan fitnah yang boleh menjejaskan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 9:17 PM