GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Berang disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar, seorang penghantar barang direman sehari selepas ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian jam 10 pagi semalam itu, lelaki berusia 25 tahun itu dilaporkan melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Dato Wan Ahmad, di sini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew berkata, SJR itu dilakukan oleh polis dan anggota JPJ sempena Op Covid-19.

"Ketika penugasan sedang dilakukan, suspek yang memandu kereta Perodua Kancil didapati tidak memakai tali pinggang keledar sebelum diarah memberhentikan kenderaannya.

"Anggota JPJ kemudian mengeluarkan notis saman atas kesalahan dilakukan suspek," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek yang marah mulanya enggan menandatangani notis saman dikeluarkan itu.

"Dia kemudian mengeluarkan kata kesat terhadap anggota polis dan JPJ yang sedang bertugas. Suspek kemudian ditahan anggota polis," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 10:47 AM