Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi rap, MK K-Clique memohon maaf di atas kelalaian memuat naik video isterinya, Siti Hajar memandu tanpa memakai tali pinggang keledar dengan betul, baru-baru ini. 

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin berkata, tiada alasan di sebalik kesilapannya tidak memberikan contoh yang baik kepada masyarakat.

"Saya menghasilkan video ini bukan untuk meraih perhatian atau sebagainya, namun terpanggil untuk tampil membuat permohonan maaf dan berterima kepada anda di luar sana.

"Saya ingin memohon maaf kerana memuat naik video yang tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu berkenaan 'content' yang mana saya mengusik isteri yang sedang memandu dan tidak memakai tali pinggang keselamatan.

"Bukan saja isteri, malah kedua-duanya tidak memakai 'seat belt' (tali pinggang keledar) dengan betul. Ini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan bukan contoh yang baik.

"Oleh itu, saya berlapang dada mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan nasihat dan teguran," katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok.

Selain mengakui kesilapan yang dilakukan, anggota kumpulan K-Clique itu berharap kelalaiannya itu dapat menjadi pengajaran buat semua pihak.

"Alhamdulillah terima kasih banyak, saya mengakui kesalahan saya, tiada alasan memang salah dan saya berharap video ini menjadi kesedaran buat semua 

"Saya juga berharap semua dapat pengajaran dari kesilapan saya sebelum muat naik apa-apa harus lebih peka dengan sekeliling kita dan mengutamakan keselamatan ketika memandu," katanya.

Terdahulu, MK memuat naik video di TikTok memaparkan dia sedang mengajar isterinya bertutur dalam bahasa negeri Sabah ketika sedang memandu.

Rata-rata peminat memberikan kata-kata positif buat MK yang tidak berdolak-dalik dan mengakui kesilapan serta memohon maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 9:49 AM