GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil pihak pengurusan TikTok dengan kadar segera untuk tampil memberikan penjelasan berhubung penyebaran klip video berbaur provokasi.

SKMM dalam kenyataannya hari ini berkata, ia berikutan tiga klip video mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969 tular di laman sosial itu yang dikatakan kandungan berbayar seperti dilaporkan sebuah portal berita.

"Penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat untuk mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain, adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal ehwal berkaitan dengan agama dan kaum," katanya.

Dalam pada itu, SKMM dan PDRM akan mempertingkat usaha bagi mengekang penyebaran video yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 November 2022 @ 10:11 PM