MENDAPAN tanah di KM 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bentong, menyebabkan semua lorong di lokasi itu ditutup, malam ini. FOTO Ihsan Pembaca
MENDAPAN tanah di KM 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bentong, menyebabkan semua lorong di lokasi itu ditutup, malam ini. FOTO Ihsan Pembaca
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK), Anih Berhad mengesahkan pihaknya menutup sebahagian lebuh raya itu di kedua-dua arah susulan tanah mendap di Kilometer 66.2 berhampiran Plaza Tol Bentong, di sini, malam tadi.

Anih Berhad dalam kenyataannya memaklumkan semua pengguna menuju ke Kuala Lumpur dari Kuantan diarahkan keluar di persimpangan Bentong Timur dan masuk semula di persimpangan Bentong Barat.

"Bagi pengguna dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan akan dilencongkan ke persimpangan Central Spine Road (CSR).

"Kenderaan yang menggunakan CSR dari Pantai Timur boleh meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun pengguna dari Kuala Lumpur yang menuju ke Gua Musang, Kelantan perlu keluar di persimpangan Bentong Barat dan masuk semula melalui persimpangan CSR Bentong," katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.

"Ketika ini pasukan teknikal Anih Berhad, LPT Ronda dan pihak polis sedang membantu mengarahkan kenderaan untuk menggunakan lencongan ke laluan alternatif disediakan," katanya.

Menurutnya, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

"Sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Anih Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini.

"Maklumat terkini juga boleh didapati di Youtube @ANIH TV atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT Line di 1700818700," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, insiden tanah mendap berkenaan tidak membabitkan sebarang kecederaan kepada pengguna jalan raya.

"Malah, tiada kerosakan terhadap mana-mana kenderaan dilaporkan dalam insiden terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan insiden tanah mendap di laluan terbabit menyebabkan semua lorong di lokasi berkenaan ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 10:55 AM