WONG (tengah) bersama dadah yang berjaya dikesan di Kargo KLIA. Foto Ihsan JKDM.
WONG (tengah) bersama dadah yang berjaya dikesan di Kargo KLIA. Foto Ihsan JKDM.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah (Unit III) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis Methamphetamine dan MDMA seberat 67 kilogram (kg) bernilai lebih RM3.2 juta, 26 Julai lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah Wong Pun Sian berkata, terdahulu, pada 1.10 tengah hari, anggota Cawangan Eksport, menahan sebuah lori untuk pemeriksaan di bahagian kargo KLIA.

"Pemeriksaan menemukan empat daripada 24 bungkusan dalam lori itu berisi 41.8 kg Methamphetamine bernilai RM1.3 juta.

"Turut ditemukan ialah 25.2kg MDMA bernilai RM1.8 juta. Siasatan awal mendapati, bungkusan itu akan dihantar ke alamat penerima di Sabah manakala maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya pada kenyataan hari ini.

Wong berkata, dadah terbabit cukup untuk bekalan kira-kira 336,000 penagih.

Katanya, taktik sindiket ialah dengan menyembunyikan dadah di dalam kotak sebelum dimasukkan ke dalam guni bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menghubungi 1-800-88-8855 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 11:30 AM