GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Penampang: Dua lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dikesan dalam operasi bersepadu Op Mabuk yang dijalankan semalam.

Dalam operasi itu, sebanyak 30 kenderaan diperiksa oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah di Jalan Kota Kinabalu-Penampang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, kedua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Menurutnya, pihak polis turut mengeluarkan 11 saman di atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, tidak memakai tali pinggang keledar dan insurans kenderaan tamat tempoh.

"Operasi kali ini membabitkan kekuatan seramai dua pegawai kanan polis yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh 11 anggota polis berjalan dengan lancar dan berakhir 3 pagi.

"Seramai 35 individu diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Beliau berkata, operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 1:00 PM