ANTARA individu yang diperiksa dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, Penampang. FOTO ihsan PDRM
ANTARA individu yang diperiksa dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, Penampang. FOTO ihsan PDRM
Juwan Riduan


Penampang: Empat pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam pemeriksaan Op Mabuk di Jalan Bundusan, di sini, malam semalam.

Operasi yang berakhir pada 1 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 75 kenderaan diperiksa.

Katanya, empat individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, manakala 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Empat pemandu kenderaan terbabit disiasat mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi diadakan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 2:30 PM