Seorang pengguna jalan raya menjalani ujian alkohol yang dijalankan IPK Sabah dan IPK Penampang. Foto Ihsan PDRM
Seorang pengguna jalan raya menjalani ujian alkohol yang dijalankan IPK Sabah dan IPK Penampang. Foto Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Penampang: Tujuh pemandu ditahan selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam pemeriksaan polis di Jalan Kota Kinabalu-Penampang berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang di sini, malam tadi.

Operasi bersepadu 'Op Mabuk' yang berakhir 2 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sepanjang operasi berkenaan sebanyak 75 kenderaan diperiksa.

"Seramai 80 individu berjaya diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan media..

Menurutnya, tujuh individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, manakala 22 saman lagi dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, mengubah suai kenderaan dan lesen memandu tamat tempoh.

"Tujuh pemandu kenderaan terbabit disiasat mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000," katanya.

Menurutnya, operasi itu juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya terutamanya di musim perayaan Pesta Kaamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 12:13 PM