RAJA Kamarul Bahrin Shah (kiri) dan Armi Irzan (tiga kanan) bersama jentera pilihan raya selepas pelancaran BGU Amanah. FOTO Baharom Bakar
RAJA Kamarul Bahrin Shah (kiri) dan Armi Irzan (tiga kanan) bersama jentera pilihan raya selepas pelancaran BGU Amanah. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding di tiga kerusi kubu kuat Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos ini.

Difahamkan, tiga kerusi itu ialah Dewan Undangan negeri (DUN) Batu Burok, Tepoh dan Rhu Rendang.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, tiga kerusi itu dimenangi calon Pas dengan majoriti melebihi 2,000 undi.

DUN Rendang dimenangi calon Pas yang kini Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dengan majoriti sebanyak 6,028 undi, DUN Tepoh (2,717) dan Batu Burok (5,288).

Jika dicampur dengan undi diperolehi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di tiga kerusi itu, jumlahnya belum mencukupi untuk parti Kerajaan Perpaduan menguasai DUN berkenaan.

Pada PRU-14, calon BN yang bertanding di DUN Rhu Rendang hanya memperoleh 7,823 undi dan PH sebanyak 729.

Jumlah undi diperolehi calon BN di DUN Tepoh adalah sebanyak 8,065 undi, calon PH (1,002) manakala jumlah undi diperolehi BN di DUN Batu Burok adalah 9,856 undi dan PH (2,572).

Walaupun tiga kerusi akan ditandingi Amanah dianggap kebal dan sukar ditembusi, tetapi sebarang kemungkinan boleh berlaku terutama apabila parti itu mendapat sentuhan jentera pilihan raya hasil gabungan jentera daripada Umno dan BN.

Ketika pelancaran Bilik Gerakan Utama (BGU) Amanah untuk DUN Batu Burok, sokongan pengundi Umno kepada parti itu terserlah apabila lebih 500 ahli parti itu hadir memberi sokongan.

Majlis pelancaran BGU itu dirasmikan Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan turut dihadiri Pengerusi PH negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Zulkifli Ali berkata, jumlah kerusi dilepaskan Umno negeri kepada Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum muktamad.

Katanya, PH dan PKR negeri sudah mengemukakan rayuan kepada Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan untuk penambahan melebihi enam kerusi seperti dilepaskan Umno.

"Keputusan muktamad jumlah kerusi akan ditandingi Amanah dan PKR masih bergantung kepada keputusan Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan dijangka diputuskan minggu depan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua jentera pilihan raya Amanah sudah bersiap sedia, termasuk membuka bilik gerakan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 1:26 PM