(Dari kiri) Mohd Nor, Dr Alias dan Ahmad Samsuri yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Terengganu.
(Dari kiri) Mohd Nor, Dr Alias dan Ahmad Samsuri yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Terengganu.
Nazura Ngah

TIGA calon sedang dipertimbangkan PAS Pusat untuk diangkat sebagai Menteri Besar jika parti itu kembali menawan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sumber memberitahu, tiga calon terbabit termasuk seorang muka baharu yang akan dipertaruhkan sama ada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih atau DUN Batu Burok.

Katanya, khabar angin nama Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Setiausaha Politik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak 2008 yang kini turut memegang jawatan Ketua Pilihan Raya PAS Pusat semakin bertiup kencang dalam kalangan kepemimpinan yang disebut-sebut akan bertanding antara dua kerusi DUN itu.

Menurut sumber, Ahmad Samsuri yang juga bekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar aeroangkasa terpilih antara calon Menteri Besar dalam usaha parti itu menampilkan generasi kepimpinan baharu di negeri itu dengan menggembleng tenaga teknokrat dan ulama.

Dua calon lain yang turut menjadi bualan ialah ADUN Bukit Tunggal, Dr Alias Razak yang juga ADUN paling kanan yang memenangi kerusi itu pada PRU 1999, 2008 dan 2013.

"Dr Alias adalah Pesuruhjaya II PAS Terengganu yang bertanggungjawab menyusun `road map’ pilihan raya untuk menawan kembali Terengganu pada PRU kali ini.

"Beliau juga pemimpin yang bertanggungjawab menyusun manifesto PAS selain memegang kerusi yang menjadi kubu selamat PAS di negeri itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai calon ketiga Menteri Besar, sumber memberitahu PAS Pusat turut mempertimbangkan ADUN Bukit Payung, Mohd Nor Hamzah yang menang dua penggal di kerusi berkenaan sejak PRU 2008.

"Mohd Nor antara Ketua Penerangan PAS Terengganu yang berjaya, selain anak didik presiden yang selalu menggantikan tempatnya untuk menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila," katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang menjadi Menteri Besar Terengganu selama sepenggal apabila PAS menawan negeri berkenaan pada PRU 1999.

Pada PRU-13, PAS memenangi 14 kerusi DUN, manakala BN (17) dan PKR (1).

Ditanya adakah tiga calon itu diangkat kerana Abdul Hadi tidak lagi berminat dengan jawatan berkenaan, beliau secara ringkas menjawab: "Tuan guru tidak berfikir untuk menjadi pemimpin negeri tetapi perlu fokus untuk memperkasakan negara".

Sementara itu sumber turut memberitahu, PAS dijangka membuat sedikit perubahan apabila beberapa penyandang kerusi Parlimen akan dipertaruhkan di kerusi DUN.

Katanya, antara yang terbabit ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dijangka diletakkan bertanding di DUN Seberang Takir berikutan khabar angin Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan akan beralih ke kerusi Parlimen.

Sumber berkata, walaupun Mohd Khairuddin kurang berminat beralih ke kerusi DUN, namun Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Bendahari Dewan Ulama itu bersedia mengambil risiko walaupun sesetengah pihak melihat ia adalah tindakan `bunuh diri’ demi membantu kemenangan parti di negeri berkenaan.

"Sejarah bakal tercipta jika calon BN tewas di DUN Seberang Takir. Pada PRU-13, kerusi itu ditandingi tiga penjuru membabitkan calon BN, PAS dan PKR.

"Calon PAS, Zakaria Dagang tewas dengan majoriti 1,510 undi. Dengan pertambahan pengundi kali pertama melebihi 4,000 orang, mungkin peluang untuk Mohd Khairuddin ada jika Ahmad Razif beralih ke kerusi Parlimen.

"Cakap-cakap turut mengaitkan Mohd Khairuddin antara yang berada dalam senarai calon Menteri Besar jika mampu menawan DUN Seberang Takir, namun beliau dikatakan kurang berminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 8:44 PM