AHMAD Said (tengah) bersama calon DUN Terengganu ketika Majlis Pengumuman Calon di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHMAD Said (tengah) bersama calon DUN Terengganu ketika Majlis Pengumuman Calon di Kuala Lumpur, semalam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua bekas Menteri Terengganu kekal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini apabila diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi DUN Kijal dan Seberang Takir yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Dua pemimpin itu adalah antara nama calon yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Majlis Pengumuman Calon Barisan PRN Ke-15 di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Pada PRU-14, Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menang dengan majoriti 1,265 undi menewaskan dua calon lagi dengan undian 9,545 undi.

Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus yang memperoleh 9,340 undi menang mengalahkan dua lagi dengan majoriti 1,884 undi.

Selain dua bekas Menteri Besar itu, BN turut mengumumkan 25 lagi calon yang akan bertanding pada PRN Terengganu manakala lima lagi kerusi DUN Terengganu akan diwakili Pakatan Harapan.

Selain Ahmad dan Ahmad Razif, BN turut mengekalkan beberapa lagi penyandang sebelum ini seperti Datuk Rozi Mamat (Telemong),Datuk Sabri Mohd Noor (Langkap), Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit),Tengku ZaihanChe Ku Abd Rahman (Kuala Besut) dan Datuk Nawi Mohamad (Hulu Besut).

Difahamkan, baki lima lagi kerusi iaitu di DUN Wakaf Mempelam, Batu Burok, Ru Rendang, Manir dan Sura akan diwakili calon daripada Pakatan Harapan.

Pada PRU-14, PAS menguasai 22 daripada 32 kerusi DUNmanakala 10 lagi kerusi dimenangi BN.

Kerusi dimenangi BN adalah Hulu Besut, Jertih, Kuala Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 1:15 PM