GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Terengganu: Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu menyatakan hasrat untuk bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Tepuh, Batu Buruk dan Ru Rendang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Setiausahanya, Muzahar Hitam, berkata keputusan itu adalah hasil mesyuarat antara Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Amanah Nasional dan Amanah Terengganu, semalam.

"Menerusi mesyuarat itu juga Amanah Terengganu bersedia untuk bertanding di kerusi Dun Bandar bagi membantu calon Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu," katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, beberapa kerusi Dun yang lain masih dalam dalam perbincangan akhir di antara pimpinan utama parti.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), ketiga-tiga kerusi tersebut dimenangi calon Pas, yang mengekalkan kemenangan daripada PRU-13.

Kerusi Tepuh disandang Hishamuddin Abdul Karim yang menang dengan majoriti 2,717 undi, Batu Buruk disandang Muhammad Khalil Abdul Hadi (menang majoriti 5,288 undi) dan Ru Rendang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (majoriti 6,028 undi).

PAS turut menang di kerusi Dun Bandar menerusi Ahmad Shah Muhamed dengan majoriti 2,091 undi.

PRN di enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan berlangsung serentak pada 12 Ogos.

Terengganu juga bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada tarikh sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2023 @ 11:51 PM