Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Semua pesakit yang hadir ke fasiliti kesihatan kerajaan berhak untuk mendapatkan rawatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon.

Tegasnya, mana-mana hospital atau klinik kesihatan tidak boleh menolak kehadiran atau merawat pesakit.

"Jika ada sesiapa yang sakit dan perlukan rawatan perubatan, anda boleh pergi ke mana-mana hospital atau klinik kesihatan milik kerajaan," katanya ketika sidang media pada Majlis Pengenalan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan seorang pesakit yang hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru semalam, yang dikatakan tidak dibenar berjumpa pegawai perubatan.

Pesakit wanita itu turut merekod video insiden berkenaan bercakap dalam nada tinggi dengan kakitangan di kaunter JTK apabila tidak dibenar berjumpa doktor.

"Kalau saya berdarah pun tak boleh jumpa doktor? Sekarang saya nak jumpa siapa? Hello jawab saya boleh tak? Eh!," katanya.

Bagaimanapun, video berkenaan dipercayai sudah diturunkan daripada media sosial dipercayai milik wanita itu.

Mengulas kejadian itu, Ling berkata, insiden terbabit dalam pengetahuan pihaknya dan siasatan lanjut dijalankan HSA di bawah Pengarah Dr Sal Atan.

"Kita tidak tahu apa sebenar yang berlaku ketika kejadian itu, jadi biarlah pihak hospital jalankan siasatan dahulu," katanya.

Sementara itu, Dr Sal dalam kenyataan berkata, siasatan dalaman sedang dilakukan bagi mengenal pasti faktor kedatangan pesakit itu.

"JKT HSA memberi perkhidmatan 24 jam untuk kes-kes kecemasan dan turut menyediakan rawatan kes bukan kecemasan selepas waktu pejabat, cuti hujung minggu dan cuti pelepasan am.

"Bagaimanapun, pada 4 Jun lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan projek rintis lanjutan waktu operasi klinik kesihatan yang membabitkan Klinik Kesihatan Mahmoodiah dengan kerjasama JKT," katanya yang memberitahu pihak pengurusan berusaha memberi perkhidmatan perawatan terbaik kepada semua golongan.

LING TIAN SOON (tengah) ketika lawatan selepas merasmikan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini, Iskandar Puteri, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
LING TIAN SOON (tengah) ketika lawatan selepas merasmikan Unit Perubatan Nuklear di Hospital Gleneagles Medini, Iskandar Puteri, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Jun 2023 @ 5:19 PM