LING Tian Soon memohon masyarakat stabilkan stok darah sepanjang bulan Ramadan. FOTO Omar Ahmad
LING Tian Soon memohon masyarakat stabilkan stok darah sepanjang bulan Ramadan. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) memerlukan sekurang-kurangnya 4,000 beg darah sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, ia bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah seperti kes kemalangan, pembedahan dan juga rutin seperti pesakit talasemia.

Katanya, bekalan darah perlu sentiasa mencukupi sepanjang waktu bagi kegunaan hospital kerana berdepan cabaran untuk menstabilkan stok darah sepanjang Ramadan.

"Jumlah kutipan darah pada Ramadan setiap tahun akan menunjukkan peratusan penurunan sebanyak 25 peratus berbanding hari biasa.

"Mengikut statistik, purata penggunaan darah di negeri ini sebanyak 250 beg setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa membuat tinjauan bekalan stok darah di Unit Transfusi Darah HSA, di sini, hari ini.

Menurut Tian Soon, selain untuk kegunaan sendiri, Unit Transfusi Darah HSA turut membekalkan darah kepada empat hospital di Johor serta 20 hospital swasta.

"Ramadan berbaki kurang dua minggu lagi, saya harap Bangsa Johor dapat sama-sama membantu menstabilkan stok darah di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 12:53 PM