Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Klinik Kesihatan Chaah di Segamat, musnah sepenuhnya selepas ditenggelami bencana banjir besar, minggu lalu.

Pengerusi Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, banjir turut merosakkan kesemua peralatan di klinik kesihatan berkenaan.

Kata beliau, sebuah klinik kesihatan sementara kini beroperasi di Balai Raya Chaah, bagi memberi rawatan kepada mangsa banjir dan penduduk setempat, dengan peralatan dan ubatan disalurkan daripada klinik kesihatan serta hospital berhampiran.

"Sebanyak 24 fasiliti kesihatan membabitkan klinik kesihatan dan klinik desa di Johor terjejas akibat banjir yang berlaku sejak minggu lalu.

"Paling terjejas adalah Klinik Kesihatan Chaah di Segamat yang musnah dengan kesemua peralatan kesihatan rosak, malah operasi klinik dipindahkan ke balai raya di pekan itu.

"Setakat ini, klinik kesihatan yang masih terjejas dan ditenggelami banjir ialah Klinik Kesihatan Sri Gading, Batu Pahat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan 'Sounthern Volunteers', sukarelawan dan agensi kerajaan sempena konvoi pasca banjir Johor di Dataran Mahkota Kota Iskandar di sini, hari ini.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ling Tian Soon. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ling Tian Soon. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sabtu lalu, media melaporkan, 18 fasiliti kesihatan terjejas di Johor akibat banjir besar dengan yang paling banyak membabitkan 12 klinik kesihatan di Segamat.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, selain Segamat, beberapa fasiliti kesihatan di daerah lain turut terjejas iaitu tiga di Tangkak, Batu Pahat (dua) dan satu di Kota Tinggi.

Katanya, secara keseluruhan, ia membabitkan 13 klinik desa, empat klinik kesihatan serta sebuah klinik pergigian.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Yong Peng berkata, keadaan banjir yang semakin pulih di beberapa kawasan, membolehkan sebahagian besar klinik kesihatan yang terjejas beroperasi semula.

Bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang memantau keadaan klinik kesihatan terjejas malah laporan penuh akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memohon bantuan lanjut.

"Pengoperasian semula klinik yang terjejas banjir banyak dibantu klinik-klinik kesihatan berhampiran yang tidak terjejas banjir dan hospital utama di daerah itu," katanya.

Beliau berkata, JKNJ sedang memantau keadaan fasiliti kesihatan terjejas banjir ini supaya tidak memberi kesan kepada sistem kesihatan di negeri ini.

"JKNJ akan memastikan pergerakan pesakit tidak terganggu, sekiranya klinik kesihatan masih terjejas dan penduduk perlukan rawatan, pesakit akan rujuk ke klinik kesihatan berhampiran dan hospital utama.

"Isu fasiliti kesihatan terjejas banjir yang memerlukan peruntukkan segera untuk dibaiki akan saya bawa ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun)," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, tiada rekod berhubung penyakit bawaan air yang diterima di fasiliti kesihatan di Johor, setakat ini.

"Tiada penyakit sakit bawaan air seperti cirit birit, taun, muntah akibat banjir yang dilaporkan berlaku di negeri ini setakat ini.

"Kita harap tidak berlaku, kerana setiap pusat pemindahan sementara (PPS) ada stesen kesihatan masing-masing terdiri daripada petugas kesihatan yang akan pantau keadaan mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 4:21 PM