Ling Tian Soon (tengah) meyaksikan Majlis tandatangan MOU antara Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles, Dr. Kamal Amzan (kiri) dan  Pengerusi Rose Foundation, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (kanan) ketika Pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Hospital Gleneagles dan Yayasan Rose di Fraser Place Puteri Harbour, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Ling Tian Soon (tengah) meyaksikan Majlis tandatangan MOU antara Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles, Dr. Kamal Amzan (kiri) dan Pengerusi Rose Foundation, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman (kanan) ketika Pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Hospital Gleneagles dan Yayasan Rose di Fraser Place Puteri Harbour, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Orang ramai yang tidak mengalami masalah kesihatan tidak serius dinasihatkan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Mahmoodiah, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, ini bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang menerima jumlah pesakit tinggi setiap hari.

Menurutnya, bagi tujuan itu, waktu operasi KK Mahmoodiah turut dilanjutkan dari 5 petang ke 9 malam setiap hari.

"Setiap hari, Poliklinik HSA menerima lebih 2,000 pesakit dan JKT menerima purata 600 pesakit setiap hari. Jadi, bayangkan jika dibahagikan dalam masa 24 jam, setiap jam kita menerima pesakit yang sangat tinggi.

"KKM (Kementerian Kesihatan) mengambil inisiatif untuk melanjutkan masa perkhidmatan KK Mahmoodiah supaya dapat ubah haluan sebahagian kes khususnya bagi kes di Zon Hijau seperti selesema, sakit perut atau pening boleh dirujuk ke KK Mahmoodiah supaya dapat mengurangkan bebanan di JKT HSA.

"Mungkin orang ramai tidak tahu lagi (lanjutan waktu operasi KK Mahmoodiah). Kita galakkan jika sakit tidak berat dan tidak serius, pergi ke KK Mahmoodiah dahulu, jika mereka kata perlu rujuk hospital atau doktor pakar, mereka akan beri rujukan ke hospital," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Hospital Gleneagles Johor dan Yayasan Rose berhubung Kempen Kesedaran Kanser Serviks, di sini, hari ini.

Tian Soon berkata, KK Mahmoodiah mempunyai fasiliti perubatan yang lengkap dengan makmal dan x-ray sekali gus dapat memberikan perkhidmatan perubatan kondusif buat pesakit.

Pada 17 Januari lalu, Zon Hijau JKT HSA ditutup sementara bagi menampung peningkatan pesakit di Zon Kuning dan Zon Merah yang melebihi kapasiti.

Pengarah HSA, Dr Sal Atan dilaporkan berkata, perkhidmatan rawatan di zon itu dibuka semula pada hari sama sekitar 5 petang meskipun notis pemakluman menyatakan ia ditutup dari 2 petang hingga 9 malam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula dalam ciapan di akaun X, 19 Januari lalu, memberi jaminan kesesakan dan lambakan pesakit di zon semi kritikal dan kritikal di JKT HSA akan dikurangkan dan menafikan dakwaan sistem kesihatan di Johor Bahru diambang kelumpuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 2:19 PM