ABANG Johari ketika merasmikan Konvensyen PBB Zon Selatan di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari ketika merasmikan Konvensyen PBB Zon Selatan di Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Selepas hampir dua minggu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengakhiri Kembara Kenali Borneo, banyak peristiwa menarik sepanjang 11 hari kembara itu masih menyentuh hati rakyat Borneo.

Salah satu yang pasti akan terus diingati apabila ramai yang teruja dengan kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta anakanda baginda berdua, tidak dapat membezakan istilah istana.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, Kembara Kenali Borneo itu meninggalkan kesan yang amat luar biasa dalam kalangan rakyat Borneo sehingga ada yang merasa begitu dekat dengan ketua negara itu.

Menurutnya, sebagai negeri yang tidak mempunyai raja atau Sultan, tentu kekok bagi rakyat Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa istana ketika berdepan Yang di-Pertuan Agong.

"Sebab itu, ada yang tidak tahu di mana hendak menggunakan istilah istana seperti untuk membahasakan diri 'patik' dengan 'beta'.

"Berlaku dalam salah satu persinggahan, ada seseorang mendekati Yang di-Pertuan Agong dan berkata 'Tuanku, boleh beta berselfie dengan Tuanku?..," katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Hikmah Exchange, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ucapan Abang Johari itu disambut dengan sorakan dan tepukan lebih 2,000 perwakilan daripada 26 cawangan PBB itu yang turut mengimbau pelbagai kejadian menarik sepanjang Kembara Kenali Borneo.

Abang Johari berkata, beliau kagum dengan pendekatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri yang sanggup mencemar duli untuk mendekati rakyat Borneo.

"Saya difahamkan, antara faktor yang menarik baginda untuk menjelajah Borneo adalah untuk mendekati rakyat pelbagai kaum dan agama yang hidup bersatu padu selain melihat pembangunan yang sedang berlaku di Sarawak.

"Baginda berdua mengetepikan protokol dan beramah mesra dengan semua orang apabila di sepanjang laluan kembara itu.

"Itu yang membuatkan baginda berdua begitu dekat dengan hati kita di Sarawak ini," katanya.

Abang Johari berkata, sikap rendah diri Yang di-Pertuan Agong itu juga antara yang menarik hatinya ketika usaha untuk membentuk Kerajaan Perpaduan, hujung tahun lalu.

"Sebab itu ketika kita hendak menubuhkan Kerajaan Perpaduan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) akur nasihat Yang di-Pertuan Agong.

"Ini juga menunjukkan kita di Sarawak taat dengan titah Tuanku serta cintakan negara Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 7:50 PM