Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Raghad Kurdi Taib, dan Abang Johari Tun Openg, menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamek Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Raghad Kurdi Taib, dan Abang Johari Tun Openg, menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Jamek Petra Jaya Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Syarikat penerbangan butik milik Sarawak dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ia berikutan kelulusan yang diberikan Kerajaan Persekutuan berhubung hasrat Sarawak untuk menubuhkan syarikat penerbangan sendiri.

Abang Jobari berkata, beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk membuat penelitian dan akan mengumumkan pelan pembangunan penubuhan syarikat penerbangan itu bulan depan

"Beri saya sedikit masa, tetapi saya yakin (hasrat memiliki syarikat penerbangan sendiri) usaha itu akan dicapai dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, beliau sebelum ini sudah meneliti perkara perlu untuk menubuhkan syarikat penerbangan itu

"Model perniagaan (syarikat penerbangan Sarawak) akan berbeza dengan kerajaan akan menanggung semua kos kerana syarikat itu nanti tidak berasaskan keuntungan.

"Kita berhasrat menubuhkan syarikat penerbangan itu untuk menstabilkan harga tiket penerbangan yang terlalu tinggi ketika ini, "katanya.

Menurutnya, beliau yakin hasrat itu akan tercapai dan akan memanfaatkan pengalamannya di dalam industri penerbangan untuk merealisasikan hasrat itu.

"Sebelum saya menjadi wakil rakyat, saya pernah berada dalam industri penerbangan. Jadi tidak dapatlah nak tipu-tipu," katanya yang pernah bertugas sebagai pegawai kanan Penerbangan Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, Kabinet Persekutuan yang bermesyuarat Rabu lalu bersetuju dengan permohonan Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik.

Bagaimanapun katanya, rundingan antara Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Persekutuan belum memutuskan sama ada untuk mengambil alih syarikat sedia ada atau memohon untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu.

"Kabinet Persekutuan menyokong usaha kerajaan Sarawak itu kerana ia adalah petanda baik bagi pertumbuhan sektor pelancongan di negeri ini, khususnya di kawasan luar bandar.

"Kita serahkan kepada Kementerian Pengangkutan Persekutuan dan Sarawak untuk membincangkan perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 5:41 PM