FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Rakyat negeri ini berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menyelesaikan masalah bekalan air bersih sekali gus menamatkan derita mereka sejak sekian lama.

Pesara, Omar Hassan, 69, berkata, rata-rata rakyat Kelantan mahu isu ini dinoktahkan dengan segera.

"Saya harap Perdana Menteri berjaya dalam menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk Kelantan.

"Sebagai rakyat, saya mahu ianya selesai dengan segera memandangkan air ini adalah keperluan harian," katanya yang tinggal di Wakaf Che Yeh, di sini.

Menurutnya, kediamannya mengalami masalah gangguan bekalan air sejak empat hari lalu yang disyaki berpunca daripada paip besar yang tersumbat.

"Saya sudah membuat laporan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) hari ini dan berharap ia dapat diselesaikan," katanya yang membina telaga tiub sebagai inisiatif ketika mengalami masalah bekalan air.

Suri rumah, Nor Ashikin Ramli, 40, berharap Perdana Menteri akan segera mencari dana dan membantu rakyat Kelantan untuk menyelesaikan isu air berkenaan.

"Masalah ini dihadapi oleh ribuan penduduk menyebabkan kami buntu dan terpaksa membina telaga tiub bagi kegunaan harian termasuk untuk mandi dan membasuh pakaian.

"Namun, besar harapan saya dan masyarakat di negeri ini untuk melihat dan merasai sendiri pengalaman menggunakan air bersih tanpa gangguan yang lama.

"Pada masa ini, di kawasan saya kerap berlaku gangguan air menyebabkan saya menggunakan sumber telaga tiub," katanya yang tinggal di Kampung Talak, Tumpat.

Perdana Menteri sebelum ini berkata, Kerajaan Persekutuan akan mencari dana dan menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan yang sehingga kini tidak selesai.

Perdana Menteri berkata, masalah itu akan diselesaikan menerusi kaedah yang betul dengan kerjasama penuh kerajaan negeri Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 3:56 PM