MUSTAPHA pada sidang media selepas hadir Majlis Mencelik Mata Singa sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Tugu Peringatan Pekan Inanam hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
MUSTAPHA pada sidang media selepas hadir Majlis Mencelik Mata Singa sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Tugu Peringatan Pekan Inanam hari ini. FOTO Mohd Adam Arinin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Dua kontraktor yang dilantik membina telaga tiub untuk mengurangkan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sudah memulakan penggerudian pada minggu ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerja penggerudian itu membabitkan empat daripada enam telaga tiub yang lokasinya sudah dikenal pasti.

Katanya, perkembangan itu dilaporkan kepadanya untuk dibawa ke mesyuarat Kementerian Pendidikan Tinggi pada Isnin ini sebelum dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ke Kabinet.

"Sekarang proses penggerudian empat telaga tiub sedang giat dilaksanakan. Pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) juga sudah melawat ke lokasi telaga tiub terbabit.

"Perkembangan kerja penggerudian itu akan dilapor setiap minggu dan Isnin ini kita akan bawa ke mesyuarat kementerian dan menteri juga akan lapor kepada Kabinet," katanya ditemui media selepas menyempurnakan acara 'mencelik mata singa' sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Inanam, dekat sini, hari ini.

Pembinaan sistem telaga tiub itu dibiayai menggunakan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu bagi membantu UMS menangani krisis bekalan air di kampus induknya, di sini.

Minggu lalu, Mustapha diberi taklimat mengenai kerja mengenal pasti lokasi telaga tiub oleh pakar geologi dan wakil kontraktor yang melaksanakan projek berkenaan selepas masalah air dihadapi pelajar UMS mendapat perhatian Perdana Menteri.

Mustapha berkata, kontraktor perlu menyiapkan keseluruhan projek itu sehingga dapat membekalkan air pada tarikh yang ditetapkan Mac depan bagi memastikan pelajar UMS mendapat bekalan air alternatif selain bekalan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

"Bagaimanapun, saya mahu menekankan projek telaga tiub ini adalah untuk jangka pendek, kerajaan negeri dan pihak JANS sedang menyelesaikan masalah air, khususnya yang berlaku di Kota Kinabalu.

"Jadi bekalan air di UMS tetap bergantung kepada sumber air dari JANS dan atas sebab itu kita berharap jabatan berkenaan dan Kementerian Kerja Raya Sabah dapat menyegerakan usaha menstabilkan bekalan air," katanya.

Isu air di UMS ada kaitan dengan kekurangan bekalan air yang disalurkan dari loji rawatan air (LRA) di Tuaran ke kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu menyebabkan bekalan kepada pengguna, termasuk di UMS berdepan gangguan sejak kira-kira setahun lalu.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan supaya memberi perhatian kepada masalah sekolah daif di sekitar Sepanggar yang belum diselesaikan.

Katanya, setakat ini sebanyak 12 sekolah rendah lagi dikenal pasti daif dan tidak selamat diduduki serta memerlukan perhatian segera pembaikan infrastruktur bangunan demi keselamatan murid dan guru.

"Sebelum ini kita melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Darau yang daif dan sudah mendapat maklum balas Kementerian Pendidikan tetapi ada 12 lagi sekolah daif di Parlimen Sepanggar yang perlu dilihat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 12:41 PM