Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud
Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan menghargai dan menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 oleh Perdana Menteri semalam yang memberi peruntukan untuk menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, peruntukan yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu akan dapat memberi manfaat kepada Kelantan dan seluruh rakyat negeri ini.

Katanya, diharapkan ia dapat menyelesaikan masalah air demi kesejahteraan kepada rakyat yang mahu mendapatkan bekalan air bersih.

"Alhamdulillah Kerajaan Pusat bantu Kelantan untuk menyelesaikan masalah air. Kerajaan Kelantan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini.

"Kita sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan Kerajaan Pusat demi kesejahteraan rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, bukan saja Kelantan, malah Perdana Menteri turut mengumumkan untuk menyelesaikan masalah air di negeri yang lain.

"Masalah air ini bukan saja di Kelantan, malah berlaku juga di negeri yang lain. Namun, kita ucapkan terima kasih banyak kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat," katanya.

Media semalam melaporkan sejumlah RM1.1 bilion disediakan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan berkata, untuk negeri Kelantan, projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang Fasa 1 berkapasiti 250 juta liter sehari akan dilaksanakan.

"Langkah ini akan dilaksanakan bagi meningkatkan rizab bekalan air dan paip simen asbestos juga diganti bagi mengurangkan kadar kehilangan air serta gangguan bekalan air ekoran paip bocor," katanya ketika membentang Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, sementara menunggu projek siap, sewaan lori tangki dan tangki statik akan ditambah bagi memastikan rakyat Kelantan mendapat bekalan air segera ketika berlaku gangguan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:01 PM