Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan mengakui tidak mampu menyelesaikan masalah air tanpa bantuan kerajaan pusat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, bagaimanapun kesal apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyebut secara jelas nilai peruntukan untuk menyelesaikan masalah air di Kelantan, sebagaimana yang dilakukan di negeri lain.

"Kenyataan yang disampaikan masih lagi 'mencari jalan' sedangkan sudah terang dimaklumkan jumlah sebenar yang kerajaan negeri perlukan bagi menyelesaikan isu air di Kelantan.

"Selain itu, kita berasa agak duka cita apabila negeri lain seperti Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dinyatakan secara jelas nilai bantuan yang akan diberikan tetapi tidak bagi negeri ini.

"Manakala, soal Anwar mahu berjumpa dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, untuk perbincangan sejujurnya dialu-alukan walaupun sebelum ini sudah ada pertemuan dan isu bekalan air adalah dalam makluman pihaknya," katanya.

PENDUDUK Mohd Zuhairy Mustapa, 36,  menunjukkan air tadahan tangki menggunakan telaga tiub di kediamannya ketika ditemui di Taman Pinggiran Universiti, Repek, Bachok, 12 Mei lalu. Sebahagian  penduduk sekitar perumahanan ini mengambil keputusan menggali telaga tiub berikutan ketiadaan bekalan air bersih daripada AKSB sejak beberapa tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK Mohd Zuhairy Mustapa, 36, menunjukkan air tadahan tangki menggunakan telaga tiub di kediamannya ketika ditemui di Taman Pinggiran Universiti, Repek, Bachok, 12 Mei lalu. Sebahagian penduduk sekitar perumahanan ini mengambil keputusan menggali telaga tiub berikutan ketiadaan bekalan air bersih daripada AKSB sejak beberapa tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) 2023 di pekarangan pejabat PKINK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Amar berkata, jika peruntukan sebanyak RM2 bilion atau RM3 bilion sebagai pendahuluan diberikan kepada pihaknya sudah cukup besar untuk kerajaan negeri menyegerakan jalan penyelesaian kepada masalah air di Kelantan.

"Oleh itu, kita berharap agar Perdana Menteri lebih bersikap terbuka seterusnya mempertimbangkan keperluan rakyat di negeri ini. Selain itu, semoga segala janji yang diberi dapat ditunaikan sekali gus membantu menyelesaikan masalah rakyat.

"Sebagaimana saya sebut sebelum ini, semua negeri tidak mampu selesaikan isu air kecuali dengan bantuan kerajaan persekutuan, justeru kita memang mengharapkan bantuan agar ia dapat diselesaikan segera," katanya.

MOHD Amar (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya di Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kumpulan PKINK 2023. FOTO Syaherah Mustafa
MOHD Amar (tengah) menyampaikan sumbangan duit raya di Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Kumpulan PKINK 2023. FOTO Syaherah Mustafa

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Perpaduan mengambil pendirian untuk menangani masalah berkaitan bekalan air untuk pengguna di Kelantan dan ia perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik.

Untuk itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan sedia mencari dana bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri berkenaan yang sehingga kini tidak selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 3:19 PM