GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak mengikut langkah Kerajaan Persekutuan dengan mengumumkan hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Aidilfitri, hujung minggu ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, jika 1 Syawal 1444 Hijrah jatuh pada Jumaat ini atau 21 April, kelepasan am diberi pada hari Isnin atau 24 April

"Tetapi, jika 1 Syawal jatuh lada hari Sabtu atau 22 April pula, maka kerajaan Sarawak menetapkan hari Jumaat atau 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, berikutan hari kedua Aidilftri akan jatuh pada Ahad iaitu hari kelepasan mingguan, maka 24 April akan menjadi cuti gantian, secara automatik.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sempena Aidilfitri.

Kelepasan am tambahan itu selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 3:11 PM