Nuralisya Myazara bersama nenek, Somiah Basri ketika ditemui di Dewan Serbaguna Taman Seri Setia, petang semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Nuralisya Myazara bersama nenek, Somiah Basri ketika ditemui di Dewan Serbaguna Taman Seri Setia, petang semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Biarpun sudah 12 tahun berlalu, Nuralisya Myazara Mohamad Hijazi belum dapat melupakan pemergian ibu bapanya, Mohamad Hijazi Zulkifli dan Maheran Muhamad yang meninggal dunia akibat kemalangan.

Pasangan suami isteri itu bersama seorang lagi anak dan adik perempuan Mohamad Hijazi dijemput Ilahi pada Februari 2011 selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah lori di Batu 2, Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Namun, keajaiban berlaku apabila Maheran melahirkan Nuralisya tiga minggu awal sebelum kemalangan ngeri itu berlaku.

Sekarang, anak bongsu dari dua beradik berusia 12 tahun itu menumpang kasih dengan neneknya, Somiah Basri, 58, yang tinggal di Kampung Sungai Tengi Kanan.

Somiah berkata, jujurnya dia masih belum dapat melupakan tragedi hitam menimpa Mohamad Hijazi sekeluarga, sekali gus meragut kebahagiaan dan keceriaan Nuralisya yang hanya sempat dinikmatinya seketika sahaja.

"Semasa arwah menantu (Maheran) melahirkannya, Nuralisya normal seperti bayi lain. Tetapi kemalangan itu mengubah segala-galanya apabila dia disahkan tidak boleh bercakap dan menjadi orang kurang upaya.

"Untuk berkomunikasi dengan Nuralisya, saya perlu melihat situasi yang dialaminya seperti gembira, menangis atau memberontak. Semua perkara itu adalah di luar jangkaan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri anak yatim Tanjong Karang di Dewan Serbaguna Taman Seri Setia, di sini, petang semalam.

Terdahulu, seramai 300 anak yatim diraikan pada majlis itu dan sumbangan Aidilfitri disampaikan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

Mengimbau kenangan terakhir yang meragut nyawa empat insan tersayang, Somiah berkata, Mohamad Hijazi sempat membeli sebuah rumah di Sepang dan melakukan renovasi.

"Arwah ada cakap kepada adik perempuannya yang dia penat sebab balik dari kerja dan tak nak balik ke Tanjong Karang. Kebetulan, hari kejadian itu sama dengan hari kelahiran suami.

"Tetapi, untuk menyedapkan hati adiknya, mereka pulang pada waktu malam untuk bersama-sama meraikan hari jadi suami saya sebelum mereka terbabit dalam nahas yang meragut semua nyawa," katanya.

Somiah berkata, dia reda dengan segala yang ditakdirkan Allah SWT dan akan menjaga Nuralisya yang diibaratkan 'pengganti' kepada anak perempuannya yang telah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 8:38 AM