ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah milik Suzana. Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah milik Suzana. Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


“KETIKA itu, saya hanya memikirkan keselamatan ibu dan nekad mencarinya di dalam rumah walaupun sudah terasa tangan serta muka melecur.

“Dalam keadaan gelap dan bahang api yang panas itu, saya hanya mampu berserah kepada Allah supaya terselamat dalam kebakaran itu,” kata Suzana Mukiban, 33.

Sambutan Aidilfitri keluarga wanita itu bertukar detik hitam apabila rumah pusaka ibunya, Ngaisah Muharam, 77, musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Suzana melecur di muka dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Suzana berkata, ketika kejadian dia bersama dua anak berusia empat dan sembilan tahun berada di dalam kereta untuk menghadiri program baraan ke rumah saudara terdekat.

“Ketika mahu memandu, saya ternampak kotoran pada baju seorang anak dan meminta supaya mengambil baju tambahan di dalam rumah.

“Namun, kurang dua minit kemudian, dia (anak) berlari ke arah kereta dan memaklumkan sebuah bilik di tingkat atas terbakar,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

KEADAAN rumah milik Suzana yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN rumah milik Suzana yang musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba

Menurutnya, dia kemudian segera masuk ke dalam rumah untuk mencari ibunya sambil membawa air bagi memadamkan kebakaran.

“Namun, usaha itu tidak membuahkan hasil dan saya yang cedera melecur bergegas keluar.

“Sejurus berada di laman rumah, saya bersyukur kerana melihat ibu dan semua anak terselamat,” katanya yang kini menumpang sementara di rumah ahli keluarga terdekat.

Dalam pada itu, kata Suzana, dia kesal dengan tindakan segelintir pihak yang mendakwa anaknya bermain mercun dan bunga api ketika kejadian.

“Perkara itu tidak berlaku sama sekali malah kami sekeluarga sedang bersiap menziarah rumah sanak saudara sebelum berlaku kebakaran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang Penolong Penguasa Bomba Azmi Abbas berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan 9.26 pagi.

“Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dikerah bagi memadamkan kebakaran yang memusnahkan keseluruhan rumah berstruktur kayu itu.

“Tiada kemalangan jiwa lain dilaporkan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 2:57 PM