Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Selepas sekian lama menanti, Hospital Tanjong Karang baharu yang siap dibina akan mula beroperasi sepenuhnya pada 10 Oktober hadapan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga menaikkan status hospital itu sebagai Hospital Pakar Minor sekaligus menggantikan bangunan hospital lama berusia 56 tahun.

"Hospital Tanjong Karang yang baharu ini adalah Hospital Pakar Minor kedua di Selangor dan berkapasiti 150 katil.

"Sebanyak 10 bidang kepakaran akan diperkenalkan di hospital ini secara berfasa merangkumi pembedahan, kecemasan, perubatan umum, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, anestesiologi, radiologi, patologi serta bedah mulut dan maksilofasial.

"Selain itu, hospital ini turut menawarkan perkhidmatan pakar secara lawatan bagi otorinolaringologi (ORL), oftalmologi, psikiatrik dan forensik," katanya pada Majlis Penyerahan Hospital Tanjong Karang yang baharu, di sini, tadi.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang ; Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Khairy berkata, dengan adanya perkhidmatan kepakaran di hospital itu, sebanyak 3,000 kes rujukan membabitkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar lain dapat dijimatkan.

"Ini kerana kes-kes bagi bidang berkenaan boleh dilaksanakan di sini," katanya.

KHAIRY Jamaluddin (tengah) melawat Hospital Tanjong Karang yang baharu, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
KHAIRY Jamaluddin (tengah) melawat Hospital Tanjong Karang yang baharu, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 4:31 PM