Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama penerima sumbangan barangan keperluan asas yang juga ibu tunggal dalam program di Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya, hari ini. FOTO  AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama penerima sumbangan barangan keperluan asas yang juga ibu tunggal dalam program di Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Syukur saya layak menerima bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban ketika tempoh Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," kata ibu tunggal, Arpah Leman, 80.

Wanita warga emas itu berkata, bantuan keperluan asas seperti telur, beras, gula dan minyak masak itu sangat bermakna buatnya bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan suami kira-kira 30 tahun lalu.

"Apabila diberitahu saya layak menerima bantuan (keperluan asas) itu, saya terharu dan dalam masa sama bersyukur dengan pemberian itu.

"Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan keadaan saya yang hidup serba kekurangan terutamanya Ahli Parlimen Tanjong Karang (Tan Sri Noh Omar)," katanya ketika ditemui, tadi.

Terdahulu, Noh menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas itu di Kampung Hang Tuah, Bestari Jaya, di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Dr Zamri Zainuldin.

Arpah berkata, dia kini tidak mampu berjalan jauh berikutan faktor usia dan hanya mengharap tanggungan dari lapan anaknya.

Seorang lagi ibu tunggal, Norkhaizah Yusoff, 55, turut melahirkan kesyukuran menerima bantuan keperluan asas itu.

Dia yang kehilangan suami pada Oktober lalu akibat sesak nafas berkata, pemergian insan tersayang menyebabkan dunianya dan dua anak gelap seketika.

"Pemergian arwah suami yang menjadi tulang belakang masih terbayang hingga ke hari ini dan kami hilang sumber pendapatan.

"Bantuan keperluan asas yang disumbangkan sedikit sebanyak melegakan golongan memerlukan seperti kami bagi menghadapi Covid-19," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, bantuan yang disampaikan melibatkan lebih 9,000 penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, pesakit kronik, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

"Sumbangan akan disampaikan secara berperingkat dalam tempoh 10 hari bagi meringankan beban yang ditanggung golongan itu.

"Kita memahami keperitan rakyat yang sedang berdepan Covid-19. Diharap sumbangan itu akan membantu mereka yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:16 PM