Azizah Ahmad (tengah) menerima kunci rumah dari Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop (kiri) sempena penyerahan rumah baharu di Blok P, Sawah Sempadan, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Azizah Ahmad (tengah) menerima kunci rumah dari Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan Mat Yusop (kiri) sempena penyerahan rumah baharu di Blok P, Sawah Sempadan, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Seorang ibu tunggal hanya mampu menitis air mata kegembiraan apabila rumahnya yang ranap ditimpa pokok Pulai 4 bulan lalu, diganti dengan kediaman baru oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Wanita malang terbabit, Azizah Ahmad, 52, berkata, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan bersyukur apabila rumah baru itu dibina tidak jauh dari tapak asal rumah lamanya.

Ibu kepada lima anak berusia 13 hingga 33 tahun memberitahu, mereka sekeluarga tinggal sementara di sebuah inap desa dengan dibiayai sepenuhnya oleh LZS.

"Kejadian (pokok tumbang) berkenaan masih segar dalam ingatan. Tragedi pada 14 Julai lalu menyebabkan saya dan dua anak terperangkap di dalam rumah yang runtuh.

"Hari ini, Allah SWT gantikan musibah itu dengan rezeki (bantuan rumah) yang lebih baik untuk saya sekeluarga. Terima kasih tidak terhingga kepada LZS dan pihak berkaitan yang membantu kami," katanya tadi.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop menyampaikan kunci rumah kepada Azizah di rumahnya di Blok P, Sawah Sempadan, di sini.

Azizah yang kematian suami akibat serangan jantung sejak 11 tahun lalu berkata, dia sekeluarga menganggap bantuan rumah itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka selain dapat berteduh dari panas dan hujan.

"Siang malam saya berfikir macam mana nak dapatkan rumah berlindung hingga kesihatan terjejas.

"Walaupun tinggal sementara di inap desa, saya lebih selesa untuk tinggal di rumah sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, pihaknya menyerahkan tiga kunci rumah baharu kepada penerima yang juga asnaf miskin di daerah Kuala Selangor.

"Selain Azizah, kami juga menyerahkan kunci kepada dua lagi penerima iaitu Masjaliah Johari, 43, di Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang dan Marseyamah Sijono, 68, di Parit 3, Sungai Burong, Tanjong Karang," katanya.

Jelas Saipolyazan, pihaknya memperuntukkan RM 100 juta bagi pembinaan rumah baharu sejak tahun 2010 dan memperuntukkan RM50 juta lagi bagi kerja baik pulih seperti lantai, bumbung dan dapur.

Menurutnya, kos pembinaan untuk sebuah rumah bernilai di antara RM 80,000 hingga RM 93,000 mengikut keadaan tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:27 PM