WARGA Bukit Aman memberikan penghormatan tertinggi kepada Abd Jalil dan isteri dalam majlis ringkas menggunakan kenderaan istiadat tertera nombor badannya G 11641. FOTO ihsan PDRM
WARGA Bukit Aman memberikan penghormatan tertinggi kepada Abd Jalil dan isteri dalam majlis ringkas menggunakan kenderaan istiadat tertera nombor badannya G 11641. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menyaksikan pelantikan baharu bagi menerajui jabatan di Bukit Aman manakala dua pengarah bertukar jabatan bagi memperkemas serta memantapkan lagi pentadbiran pasukan di peringkat Persekutuan.

Pengarah baharu yang dilantik dan disematkan pangkat Komisioner Polis (CP) oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ialah Timbalan Pengarah Cawangan Khas I, Bukit Aman, Datuk Mohd Khalid Ismail sebagai Pengarah Cawangan Khas menggantikan Datuk Baharuddin Ahmad yang bertukar ke Jabatan Perdana Menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din pula bertukar ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang sebelum ini diterajui Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob kini memegang portfolio Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menggantikan Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang bersara wajib mulai esok.

Serah terima tugas jawatan Pengarah PDRM dan penyerahan tongkat kuasa jabatan masing-masing disaksikan Acryl Sani dalam majlis yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, pagi tadi.

Turut berlangsung serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) kesemua jabatan terbabit, sambil disaksikan oleh Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Sri Ir Zaitun Mohd Isa.

Sementara itu, Abd Jalil menyifatkan Ayob Khan sebagai seorang yang berkaliber serta berwibawa.

"Umpama hidup pokok berbuah, hidup manusia berjasa. Apa yang pasti, jasa dan pengorbanan yang beliau curahkan kepada pasukan dan negara tidak mungkin dapat dibalas, melainkan ganjaran daripada Allah SWT jua," katanya.

Seusai majlis tadi, warga PDRM Bukit Aman memberikan penghormatan tertinggi kepada Abd Jalil dan isteri dalam majlis ringkas 'send-off' beliau menggunakan kenderaan istiadat yang tertera nombor badannya 'G 11641'.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama isteri selaku Naib Pengerusi Perkep Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, barisan pengarah dan timbalan pengarah bersama isteri, ketua-ketua polis negeri bersama isteri, pegawai kanan PDRM, ahli Perkep dan ahli keluarga Abd Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 3:14 PM