Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang menamatkan kontraknya, hari ini.

Majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Pada majlis sama, berlangsung upacara serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antara Razarudin dengan penyandang baharu Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi.

Majlis serah terima tugas dimulakan dengan upacara penyerahan watikah pelantikan dan pemakaian pangkat Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Razarudin dan Ayob Khan disempurnakan Saifuddin Nasution.

Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas di antara Acryl Sani dan Razarudin serta penyerahan tongkat kuasa disaksikan oleh Saifuddin Nasution.

Proses sama berlangsung antara Razarudin dan Ayob Khan bagi upacara menandatangani dan pertukaran dokumen serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara antara Razarudin dan Ayob Khan serta penyerahan tongkat kuasa.

Turut diadakan, upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Malaysia antara Puan Sri Zaitun Mohd Isa dengan Puan Sri Zainah Othman disaksikan isteri Saifuddin Nasution, Datin Seri Norhayati Musa.

Pada majlis itu juga, diadakan majlis serah terima tugas Naib Pengerusi Perkep Malaysia antara Zainah dengan Puan Seri Zalina Mohd Ariffin.

Acryl Sani dalam ucapannya, mengimbau penyertaan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1986 adalah semata-mata mahu mencari rezeki dan menyangkakan ia bersifat sementara.

Selepas berada dalam pasukan polis, timbul rasa kasih dan sayang kepada PDRM dan selepas itu terus berkhidmat dalam pasukan keramat ini. Saya amat terhutang budi dengan PDRM kerana membantu saya dan isteri membina keluargq.

"Menjadi seorang anggota polis adalah satu nikmat, justeru saya minta rakan-rakan yang masih dalam perkhidmatan supaya tidak mengambil mudah tugas dalam memastikan khidmat PDRM relevan sepanjang masa.

"Ambillah pulangan daripada khidmat itu bukan sahaja daripada segi imbuhan gaji, tetapi juga menjadi sebagai seseorang yang memberi manfaat kepada orang lain yang memerlukan bantuan," katanya.

Dalam pada itu, katanya tiada apa yang pelik apabila beliau perlu menamatkan tugas sebagai Ketua Polis Negara lebih awal dari tarikh asal iaitu pada 3 Oktober ini.

"Saya ditawarkan dengan perancangan lepas bersara dan saya tidak jangkakan budi baik yang dipanjangkan kepada saya itu.

" Mungkin ada yang rasa pelik dengan perkara ini namun tiada apa yang janggalnya dalam peralihan kuasa. Situasi memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tugas di luar," katanya.

Semalam, Saifuddin Nasution mengumumkan Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu, manakala Ayob Khan yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pula dilantik sebagai Timbalannya,.

Pelantikan Razarudin secara kontrak selama dua tahun adalah bagi menggantikan Acryl Sani yang bersara lebih awal.

Pelantikan itu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 12:52 PM