SALAHUDDIN Ayub. FOTO Arkib NSTP.
SALAHUDDIN Ayub. FOTO Arkib NSTP.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Harga minyak masak sawit tulen kemasan botol satu, dua, tiga dan lima kilogram (kg) bagi tempoh 8 April hingga 7 Mei depan dikekalkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sepanjang tempoh itu, harga minyak satu kilogram dikekalkan pada RM6.90, 2kg (RM13.30) 3kg (RM19.60) dan 5kg (RM30.90).

"Kerajaan menanggung subsidi RM7 juta sebulan bagi memastikan harga produk itu kekal.

"Kiraan itu dibuat berdasarkan anggaran penggunaan minyak masak kemasan botol digunakan rakyat iaitu sebanyak 25,000 metrik tan sebulan," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurutnya, secara umumnya, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) untuk Mac berbanding bulan sebelumnya yang melepasi RM4,000 per tan metrik.

"Purata harga Minyak Sawit Mentah untuk Mac 2023 adalah RM 4,139 per tan metrik berbanding RM 3,908 per tan metrik pada Februari lalu," katanya.

Menurutnya, kenaikan harga itu sekaligus akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen kemasan botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak.

"Dengan kenaikan harga CPO mencecah RM4,000, kerajaan mengambil keputusan bersama pemain industri untuk tidak menaikkan harga minyak masak kemasan botol daripada satu kilogram hingga lima kilogram jadi harga kekal.

"Ini membuktikan kerajaan mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini dan memastikan rakyat terus dibantu untuk mendepani kos sara hidup terutama di bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Menurutnya, pengekalan harga runcit minyak masak sawit kemasan botol itu membabitkan pembayaran subsidi kepada pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.

Ditanya mengenai harga minyak masak paket, ia masih kekal dijual pada harga RM2.50 di pasaran.

"Mana-mana pihak yang menjual lebih daripada harga maksimum akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

"KPND juga akan teruskan pemantauan di samping terus menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 3:11 PM