Kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan dijual dalam botol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO BERNAMA
Kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan dijual dalam botol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan dijual dalam botol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan, memperuntukkan RM600 juta pada tahun ini bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak (COSS) berbanding RM528 juta tahun lalu.

COSS adalah program subsidi minyak masak yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup pengguna dan mekanisme itu terbuka kepada semua golongan untuk mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.

Subsidi itu diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga RM2.50 sepeket, walaupun harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia meningkat.

"Kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik sebulan atau 720,000 tan metrik setahun, iaitu bersamaan dengan 60 juta polibeg sebulan dan 720 juta polibeg setahun, untuk kegunaan semua peringkat rakyat Malaysia di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kuantiti berkenaan adalah berdasarkan kadar penggunaan 1.8kg seorang setiap bulan, iaitu 22.0kg seorang setahun, katanya.

"Kerajaan memberi jaminan, kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol, malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama," katanya.

Media melaporkan mengenai rungutan orang ramai dan peniaga, dengan kenaikan harga minyak masak botol lima kg sehingga 15 peratus, dalam keadaan negara melaksanakan sekatan pergerakan penuh.

Nanta berkata, minyak masak dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi, di mana harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia.

"Rakyat boleh membuat pilihan, sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg, atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin," katanya.

Harga CPO pada masa ini, menurutnya sudah mencecah lebih RM4,500 tan metrik berbanding sekitar RM2,500 tan metrik sebelum ini dan ia bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

"Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit," katanya.

Nanta berkata, KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi berkaitan, untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi pasaran bagi mengurangkan beban pengguna dan akan memaklumkan hasil perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui.

Beliau berkata pihak penguatkuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011, jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.

"Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum, jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.

"Skim Harga Maksimum Musim Perayaan adalah salah satu contoh pelaksanaan kawalan harga di setiap musim perayaan di mana KPDNHEP menjangka permintaan akan meningkat, dan peningkatan itu akan menekan harga barangan seperti yang biasa berlaku dalam ekonomi pasaran bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 8:35 PM