Alexander (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke sebuah pusat pengeluaran minyak masak. Foto Ihsan KPDNHEP
Alexander (kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke sebuah pusat pengeluaran minyak masak. Foto Ihsan KPDNHEP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kerajaan konsisten untuk menyalurkan peruntukan 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi bagi membantu rakyat mendapatkan bahan mentah itu setiap bulan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, peruntukan itu mengambil kira keperluan rakyat di negara ini.

Menurutnya, ketika ini bekalan minyak masak bersubsidi dijual dalam bentuk pek pada harga RM2.50 sekilogram (kg) serta boleh didapati di kedai runcit dan pasar raya utama di Malaysia.

Katanya, bagi minyak masak dalam bentuk botol dua kilogram (kg) sehingga lima kg dengan pelbagai jenama tidak bersubsidi, ia dijual mengikut pasaran berdasarkan penawaran serta permintaan.

"Pada masa ini, kementerian memberi fokus pemantauan terhadap penjualan minyak masak botol, bertujuan mengelak peruncit menaikkan harga dengan tujuan mengaut keuntungan berlebihan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Alexander berkata, bermula Jun lalu sehingga kini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan trend harga minyak sawit mentah di pasaran dunia meningkat setiap bulan.

Menurut beliau, pengeluaran meningkat disebabkan beberapa faktor seperti peningkatan permintaan luar negara terhadap minyak sawit mentah yang diproses.

Katanya, harga minyak masak lain di pasaran antarabangsa yang melonjak juga menyebabkan minyak sawit menjadi pilihan berbanding minyak soya dan 'rapeseed'.

"Faktor perubahan iklim juga menyebabkan pengeluaran minyak sawit terjejas sehingga menyebabkan kenaikan harga di pasaran.

"Harga minyak masak tidak bersubsidi bergantung kepada Crude Palm Oil (CPO) dan harganya juga ditentukan berdasarkan permintaan dan bekalan," katanya.

Alexander berkata, pihaknya menerima banyak rungutan berkaitan kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi dan perkara ini disebabkan kenaikan harga CPO.

Katanya, sejak Ogos sehingga Disember tahun lalu harga minyak masak CPO meningkat melebihi RM3,000 per tan metrik dan ia memberikan tekanan kepada harga dalam pasaran tempatan kecuali harga minyak masak bersubsidi.

"Sepanjang pemantauan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada peniaga didapati menaikan harga minyak masak, sebaliknya ia dijual berdasarkan harga bekalan yang diterima dari pengilang.

"Harga menjadi rungutan orang ramai sekarang ini adalah apabila pengguna mendapati sesetengah jenama minyak masak dijual pada kadar RM30 sebotol yang disebabkan oleh harga CPO meningkat.

"Berdasarkan laporan diterima daripada pihak penguat kuasa negeri dan Bahagian Harga Barang Negara didapati tidak semua jenama tidak bersubsidi dijual pada harga tinggi," katanya.

Alexander turut mencadangkan pengguna membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian dan menyarankan pengguna membeli minyak masak botol 'house brand' milik pusat beli belah yang dijual lebih murah berbanding jenama lain.

Jelas beliau, sudah tiba masanya pengguna membeli produk 'house brand' yang menawarkan kualiti setanding pada harga lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 3:45 PM