LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Harimau belang betina digelar Mek Santong kini dalam proses kuarantin selama empat minggu selepas berjaya ditangkap menggunakan jerat dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia di kawasan Hutan Simpan Rasau, Kerteh, Terengganu, pada 29 Mac lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau betina seberat 104 kilogram (kg) itu dijangka akan dilepaskan dalam kurungan bagi tujuan pembiakan.

"Sekarang harimau itu dalam proses kuarantin selama kira-kira empat minggu. Harimau berkenaan dijangka akan dilepaskan dalam kurungan bagi tujuan pembiakan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, harimau berkenaan menggusarkan penternak lembu serta penduduk di kawasan Felda Kerteh mendorong operasi bagi menyelamatkan haiwan itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Konservasi Hidupan Liar Perhilitan ibu pejabat dan daerah Dungun, pasukan taktikal khas Special Protected Area Response Team (Sparta), Pusat Konservasi Harimau Malaya serta pakar dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

Abdul Kadir dipetik berkata, Perhilitan terlebih dulu menggunakan pelali untuk memindah keluar harimau berkenaan dari dalam perangkap sebelum pemeriksaan kesihatan serta melakukan prosedur morfologi pengambilan sampel darah.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal mendapati ia berusia sekitar enam tahun dan kini dalam keadaan sihat.

Difahamkan, tangkapan terbaru itu adalah kes ketiga di kawasan Felda berkenaan selepas tangkapan pertama seekor harimau jantan digelar Awang Rasau dilakukan pada Februari 2021 di kawasan Felda Kerteh 2, Terengganu.

Lima bulan selepas itu, seekor lagi harimau belang berjaya ditangkap selepas memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Felda Kerteh 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 1:31 PM