UMAT Islam perlu menjadikan peristiwa umat terdahulu yang diazab dan diseksa sebagai pedoman kerana ingkar perintah Allah SWT
UMAT Islam perlu menjadikan peristiwa umat terdahulu yang diazab dan diseksa sebagai pedoman kerana ingkar perintah Allah SWT
Datuk Dr Luqman Abdullah

Sebelum ini, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerima soalan berhubung isu ziarah tempat tinggal kaum Nabi Saleh iaitu Madain Saleh yang terletak di Arab Saudi. Dalam soalan itu, turut dinyatakan bahawa ada yang menyatakan bahawa Nabi SAW melarang pergi melawat ke Madain Saleh.

Secara ringkasnya, larangan Nabi SAW melawat Madain Saleh adalah larangan dalam bentuk makruh di sisi ulama kerana kawasan itu adalah kawasan yang dilaknat dan diazab oleh Allah SWT melainkan masuk dalam keadaan penuh dengan keinsafan, takut dengan azab Allah SWT dan mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa umat terdahulu.

Bagi menghuraikan jawapan berkenaan, Al-Hijr atau dikenali sebagai Madain Saleh adalah perkampungan kaum Nabi Saleh yang terletak berhampiran dengan al-'Ula.

Penduduk kaum Nabi Saleh dianugerahkan umur yang panjang (rujuk al-Bidayah wa al-Nihayah) dan mereka tinggal di kawasan bukit-bukit batu dengan menebuk dan membina rumah di dalamnya. (Rujuk Haiah Kibar al-Ulama bi al-Mamlakah al-'Arabiyyah al-Saudiyyah)

Menurut Imam Ibn Kathir, kaum Nabi Saleh digelar sebagai kaum Thamud yang diambil daripada nama nenek moyang mereka iaitu Thamud saudara kepada Jadis.

Mereka berdua adalah anak kepada 'Abir bin Iram bin Sam bin Nuh berbangsa Arab asli dan menetap di al-Hijr yang terletak di antara Hijaz dan Tabuk, juga dikatakan terletak di antara kota Madinah dan Tabuk.

Kaum Thamud adalah kaum yang dimurkai dan diazab oleh Allah SWT atas pendustaan mereka terhadap Rasul yang diutuskan. Kisah mereka meminta bukti tentang kebenaran agama yang disampaikan oleh Nabi Saleh AS.

Lalu Allah SWT memperkenankan doa Baginda AS dan permintaan kaumnya dengan mengeluarkan seekor unta betina daripada batu besar sebagai bukti kepada mereka. Selepas kejadian itu, Nabi Saleh AS memerintahkan kaumnya supaya memelihara dan menjaga unta tersebut serta anaknya dengan baik.

Namun, atas sikap kufur dan ingkar, unta tersebut dan anaknya dibunuh lantas Allah SWT menurunkan azab ke atas mereka kerana pendustaan dan pelanggaran yang mereka lakukan. (Rujuk Qasas al-Anbia)

Hal ini seperti mana yang dirakamkan dalam al-Quran, firman Allah SWT: "Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata (mukjizat) dari Tuhan kamu; ini adalah seekor unta betina (dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah al-A'raf, ayat 73)

Ketika Nabi SAW bersama rombongan melalui bumi al-Hijr iaitu penempatan kaum Thamud dalam perjalanan pulang dari Tabuk, tiba di satu kawasan telaga lalu Baginda SAW melarang untuk meminum air dari telaga tersebut kerana pernah diminum oleh kaum Thamud yang dilaknat oleh Allah SWT. Hal ini kerana dibimbangi akan terkesan dengan azab dan siksa yang menimpa mereka.

Di samping itu, Nabi SAW berpesan supaya tidak masuk ke kawasan yang pernah diturunkan azab oleh Allah SWT, malah apabila Baginda SAW melalui kawasan terbabit, Baginda SAW berjalan laju serta menutupi kepala dan segera meninggalkan kawasan itu. Hal ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA katanya: "Ketika Nabi SAW lalu di kawasan al-Hijr, Baginda bersabda: "Janganlah kamu masuk ke kawasan orang-orang yang menzalimi dirinya sendiri, kerana sesungguhnya dibimbangi kalian akan ditimpa musibah seperti mana musibah yang menimpa mereka, melainkan kalian masuk dalam keadaan bersedih". Lalu Baginda menutup kepalanya dan cepat berlalu pergi sehingga menyeberangi wadi tersebut." (Hadis Riwayat al-Bukhari. No 4419)

Kebanyakan ulama dalam kalangan mazhab al-Syafi'i, Maliki dan Hanbali menyatakan bahawa makruh memasuki kawasan yang diazab oleh Allah SWT melainkan masuk dengan perasaan takut ke atas azab Allah SWT di samping mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku serta tidak berlama-lama berada di tempat berkenaan.

Menurut Ibn Battal sekiranya berkunjung ke tempat yang diazab oleh Allah SWT dalam keadaan gembira dan seumpamanya, maka dikhuatiri akan ditimpa azab sebagaimana mereka sebelum ini.

Sehubungan itu, Allah SWT memberi peringatan kepada hamba-Nya supaya memerhati dan mengambil iktibar terhadap umat terdahulu sebagai pedoman dan panduan dalam hidup.

Firman Allah SWT: "Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapa pun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah." (Surah al-Ghafir, ayat 21)

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa larangan Nabi SAW melawat Madain Saleh adalah larangan berbentuk makruh kerana kawasan itu adalah kawasan yang dilaknat dan diazab oleh Allah SWT melainkan masuk dalam keadaan penuh dengan keinsafan, takut dengan azab Allah SWT dan mengambil iktibar atas kejadian yang menimpa umat terdahulu.

Wallahu'alam

  

Penulis Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 6:01 AM