JALIAH tetap kuat semangat dan mahu berdikari.
JALIAH tetap kuat semangat dan mahu berdikari.
Noor Hidayah Tanzizi

Kluang: "Mak cik tidak mahu menyerah kalah (melawan kanser), kena terus kuat menghadapi ujian Allah SWT," kata pesakit kanser pangkal lidah tahap empat, Jaliah Dirun.

Jaliah, 62, mendapat perhatian selepas videonya memandu kereta dengan memakai tiub di hidung membuktikan warga emas itu memiliki semangat kental berdepan ujian getir selepas didiagnosis kanser sejak dua tahun lalu.

Video itu dikongsikan anak sulungnya, Nor Aziemah Ahmad, 31, di TikTok yang meraih tontonan dan pujian netizen yang kagum dengan semangat positif Jaliah selain mereka turut mendoakan kesembuhannya.

Jaliah berkata, video itu dirakam ketika dia dalam perjalanan ke kedai dan mengakui kuat semangat selepas mendapat sokongan keluarga dan rakan yang sentiasa bersamanya.

"Alhamdulillah, setakat ini rasa bertambah sihat dan apa yang membuat semangat mak cik lebih kuat adalah sokongan anak, adik-beradik, rakan dan jiran yang tidak berhenti mendoakan, mak cik tak mahu menyerah kalah," katanya.

TANGKAP layar video Jaliah memandu kereta dengan memakai tiub di hidung. FOTO Ihsan Nor Aziemah Ahmad
TANGKAP layar video Jaliah memandu kereta dengan memakai tiub di hidung. FOTO Ihsan Nor Aziemah Ahmad

Sementara itu, Nor Aziemah berkata, ketika ini sel kanser ibunya merebak ke leher, paru-paru dan perut, malah ia juga sudah menutup saluran pernafasannya yang kini semakin kurus dan hanya bergantung dengan susu khas saja.

Bagaimanapun katanya, wanita kesayangannya yang menetap di Sungai Balang, Muar tetap menunjukkan semangat positif dan tidak mahu terlalu menyusahkan mereka sekeluarga.

"Mak menjalani rawatan kemoterapi dan buat imbasan (CT Scan, tetapi keputusan belum diperoleh), tetapi mak tetap kuat dan suka berdikari (termasuk mahu ke kedai sendiri biarpun selalu dilarang).

"Video itu ketika kami pergi kedai dan ia adalah video terakhir mak memandu kerana kami tak mahu dia pandu kereta lagi.

"Kalau pergi hospital adik-beradik akan bergilir-gilir bawa mak untuk membuat rawatan," katanya memberitahu jarak kedai dan rumah ibunya terletak berhampiran.

NOR Aziemah bersama ibu, Jaliah. FOTO Ihsan Nor Aziemah Ahmad
NOR Aziemah bersama ibu, Jaliah. FOTO Ihsan Nor Aziemah Ahmad

Peniaga dalam talian itu berkata, sejak jatuh sakit, wajah ibunya tidak seceria dahulu dan sukar bercakap membuatkan bapa, dirinya dan lima adiknya juga merasai 'kesakitan' itu.

"Dalam keadaan ini kami juga perlu kuat dan saling memberi sokongan untuk sentiasa positif supaya mak juga merasainya. Sebelum ini dua adik lelaki saya sanggup berhenti kerja buat sementara untuk menjaga dan menguruskan mak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 7:02 AM