Rosli Ilham

Dungun: Harimau belang yang digelar 'Atan Kerteh' berjaya ditangkap selepas masuk ke perangkap yang dipasang di Ladang Sawit Felda Kerteh 4, dekat sini, pagi semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara PERHILITAN Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, harimau seberat kira-kira 70 kilogram itu masuk ke perangkap selepas diumpan kambing.

Menurutnya, berdasarkan kesan tapak kaki,anggota PERHILITAN memasang sembilan perangkap di lokasi itu sejak 10 hari lalu.

"Pagi semalam, ketika membuat rondaan, anggota kami mendapati harimau berusia lingkungan 18 bulan itu memasuki perangkap.

"Kami percaya harimau itu adalah salah seekor daripada lima harimau yang berjaya dirakam kamera yang kita pasang Jun lalu," katanya ketika hadir melawat operasi menyelamatkan harimau itu petang ini.

Abdul Kadir berkata, pihaknya percaya terdapat tujuh harimau yang menyerang lembu penternak di kawasan itu.

HARIMAU yang digelar ‘Atan Kerteh’ berjaya memasuki perangkap yang dipasang PERHILITAN. FOTO Rosli Ilham
HARIMAU yang digelar ‘Atan Kerteh’ berjaya memasuki perangkap yang dipasang PERHILITAN. FOTO Rosli Ilham

"Kejadian serangan terhadap ternakan penternak di sini bermula tahun 2019 dan serangan paling kerap berlaku sejak tahun lalu.

"Lebih 240 ekor ternakan penduduk di kawasan Felda Kerteh 4 ini menjadi korban kepada harimau terbabit dan kita akan terus melakukan operasi supaya ke semua harimau itu berjaya ditangkap," katanya.

Menurutnya, sebelum ini,pihaknya berjaya menyelamat seekor harimau yang digelar 'Awang Rasau' yang cedera dipercayai ditembak pemburu haram di Felda Kerteh 2.

"Harimau jantan itu bagaimanapun mati Mac lalu, selepas mengalami komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di bahagian belakang," katanya.

Abdul Kadir berkata, Atan Kerteh akan dibawa ke Pusat Menyelamat Haiwan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemantauan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 7:22 PM