MEK Blau ketika diselamatan Perhilitan. FOTO Ihsan JBPM
MEK Blau ketika diselamatan Perhilitan. FOTO Ihsan JBPM
Paya Linda Yahya


Gua Musang : Seekor harimau belang betina seberat 80 kilogram (KG) diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhampiran Ladang Metro NTT, Pos Blau, di sini, semalam.

Harimau betina yang di panggil 'Mek Blau' itu dipercayai tercedera pada pergelangan kaki kiri hadapan akibat terkena jerat pemburu haram.

Perhilitan dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan Khamis lalu oleh seorang kakitangan ladang.

"Sepasukan anggota dihantar segera ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi pada 12.30 tengah hari.

"Namun, kedudukan harimau itu sukar diakses kerana terletak di kawasan berkecerunan tinggi atau tebing sungai.

"Jadi, pada 10.30 pagi keesokan hari (semalam), operasi menyelamat dimulakan selepas menerima maklumat kedudukan dan keadaan haiwan liar itu menggunakan dron," katanya.

Menurutnya, ubat pelali digunakan untuk menidurkan sementara 'Mek Blau' bagi memudahkan kerja menyelamat.

"Rawatan ke atas kecederaan, pemeriksaan fizikal dan pengambilan sampel darah telah dilakukan oleh pegawai veterinar.

"Operasi menyelamat yang membabitkan 21 kakitangan selesai pada 12.30 tengahari dan harimau belang ini dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pemburu haram yang bertindak memasang jerat adalah menyalahi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 10:53 AM