Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@bh.com.my


Kuala Lumpur: Harimau Malaya dilaporkan mati di Hospital Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini, akibat komplikasi saraf, kegagalan sistem perkumuhan dan jangkitan kuman pada luka di kaki belakangnya.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia memaklumkan, harimau jantan dinamakan Awang Rasau itu sebelum ini menderita kesakitan akibat kecederaan terkena lapan peluru yang ditembak pemburu haram.

Kematian haiwan itu dilaporkan pada 12 tengah hari, hari ini.

"Selepas kesihatan Awang Rasau semakin merosot pada 3 Mac lalu, pihak Perhilitan sedaya upaya menyelamatkan Awang Rasau ini dengan mendapatkan rawatan susulan serta nasihat doktor pakar di Hospital Veterinar UPM pada 4 Mac.

"Bagaimanapun, Awang Rasau masih tidak dapat diselamatkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perhilitan berkata, peluru ditembak ke arah harimau itu sebelum ini mengenai paru-paru dan sistem saraf haiwan itu.

Menurutnya, ia menyebabkan harimau itu lumpuh separuh badan dan hanya boleh bergerak menggunakan kaki hadapannya saja manakala luka kaki belakangnya akibat seretan amat serius.

Harimau Malaya itu ditangkap Perhilitan melalui tembakan ubat pelali pada 22 Februari lalu di Ladang Felda Kerteh 2, Kemaman, Terengganu, selepas menerima aduan penduduk berhubung gangguan harimau yang menyerang ternakan sekitar ladang sejak November tahun lalu.

Haiwan itu ditemukan cedera dengan tiga kesan tembakan pada bahagian kaki belakangnya dan kemudian dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan susulan dan pemantauan lanjut.

Berita berkaitan

  • Awang Rasau masuk perangkap
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 11:16 PM