GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Polis menumpaskan sindiket yang membangunkan serta menyelenggara laman sesawang serta perisian perjudian melalui serbuan di rumah teres dua tingkat di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) itu turut menahan 10 individu warga tempatan termasuk seorang wanita.

Menurutnya, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun adalah antara 10 yang ditahan itu.

Katanya, serbuan dibuat hasil daripada maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lalu apabila apabila sindiket disyaki melakukan aktiviti pusat panggilan yang menyalahi undang-undang.

"Sindiket ini beroperasi dengan menyewa rumah teres dua tingkat di taman perumahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Siasatan lanjut mendapati sindiket menawarkan perkhidmatan membangunkan laman sesawang yang mengumpulkan pelbagai jenis permainan judi secara dalam talian serta perisian atas permintaan pelanggan sama ada dalam atau luar negara," katanya dalam kenyataan petang ini.

Menurutnya, pasukan serbuan merampas komputer riba, set komputer (tiga), telefon bimbit pelbagai jenama (34 unit), modem (empat), serta sehelai kertas mengandungi skrip perbualan.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, hanya seorang individu bawah umur ditahan dengan dia sudah diikat jamin hari ini, manakala selebihnya direman bermula hari ini sehingga esok.

Beliau berkata, pihaknya dalam pada itu menggesa orang ramai memainkan peranan menyekat promosi judi dalam talian dengan mengemukakan laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 7:08 PM