Mohd Roji Kawi


Kuching: Polis yakin melumpuhkan lima sindiket judi dalam talian yang menyebabkan mangsa kerugian RM15.07 juta menerusi 14 serbuan di daerah ini sejak Jun hingga semalam.

Seramai 72 individu membabitkan 40 warga negara dan 32 warga asing ditahan dalam operasi yang dilakukan susulan maklumat awam dan intipan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lima sindiket judi dalam talian itu dikesan aktif di sekitar daerah ini.

Katanya, 52 daripada yang ditahan adalah lelaki manakala selebihnya wanita dan sehingga kini seramai 34 orang daripada mereka sudah dituduh di mahkamah.

"Salah seorang lelaki berusia 25 tahun yang ditahan sebelum ini dipercayai bertanggungjawab menjaga akaun bernilai RM8 juta milik sindiket judi berkenaan," katanya.

Terbaharu katanya, polis menumpaskan sindiket judi dalam talian yang mengubah lokasi pusat panggilan mereka dari kediaman mewah ke rumah teres gagal mengaburi mata pihak berkuasa di Jalan Lapangan Terbang di sini, pada jam 5.30 petang semalam.

Menurutnya, dalam serbuan sebelum ini semua pusat panggilan itu beroperasi di kondominium mewah serta banglo.

"Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama Balai Polis Sungai Maong, Balai Polis Sekama dan Balai Polis Tabuan Jaya ke atas rumah teres dua tingkat itu.

"Seramai 13 warga Indonesia dengan dua daripadanya wanita berusia 18 hingga 42 tahun ditahan dan merampas pelbagai peralatan termasuk enam unit monitor komputer, enam unit pemprosesan komputer (CPU), enam telefon bimbit, router, modem dan peralatan lain menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

"Serbuan itu dilakukan hasil daripada ri̇sikan yang dijalankan oleh sepasukan polis dari IPD Kuching bersama tiga balai di bawahnya.

"Kesemua warga asing itu menjadi operator pengendalian perjudian dalam talian sejak enam bulan lalu dengan bayaran gaji sebanyak RM1,500 sebulan," katanya pada sidang media di IPD Kuching di sini, hari ini.

Menurut Ahsmon, setiap operator juga akan dibayar bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket itu.

"Siasatan awal mendapati pusat panggilan itu beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam sejak enam bulan lalu.

"Berdasarkan rekod transaksi yang berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket tersebut mencecah RM3,500 sehari dan anggaran keuntungan sejak enam bulan lalu berjumlah RM630,000," katanya.

Menurutnya lagi, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua suspek ditahan turut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Asmond Bajah mengadakan Sidang Media berkenaan Tangkapan 11 orang warga asing yang menjalankan operasi pusat Judi Online (Calling Centre) dan 4 Penganjur CC telah ditumpaskan. FOTO NADIM BOKHARI
Asmond Bajah mengadakan Sidang Media berkenaan Tangkapan 11 orang warga asing yang menjalankan operasi pusat Judi Online (Calling Centre) dan 4 Penganjur CC telah ditumpaskan. FOTO NADIM BOKHARI

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 5:30 PM