Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini di atas empat pertuduhan mengedar dadah lebih 43 kilogram (kg) yang bernilai RM2.16 juta.

Tertuduh, Ng Kah Jun, 27, yang tidak diwakili peguam mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar pil ekstasi dianggar berat 3.6 kg, eramin 5 dianggar 3.24 kg, serbuk ekstasi dengan anggaran berat 33.8 kg dan ketamin dengan berat 2.52 kg di rumah di Taman Suria, di sini, 1.30 tengah hari, 16 Febuari lalu.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa mengikut seksyen 39(B) (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39b (2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Timbalan Pendakwaraya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dan memohon mahkamah menetapkan semula 3 Mei ini bagi memperoleh laporan kimia.

Hakim membenarkan permohonan itu dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

TERTUDUH (depan, tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
TERTUDUH (depan, tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kluang. FOTO Mohamad Fahd Rahmat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 12:14 PM