LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Aizat Sharif


Arau: Pentadbiran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengarahkan Blok A dan Blok B Kompleks Perumahan Pauh Putra yang menempatkan penuntutnya dikosongkan.

Ia susulan kejadian kebakaran dan kerosakan membabitkan 36 motosikal milik penuntut berkenaan di kolong Blok B asrama berkenaan awal pagi ini.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pengosongan kedua-dua blok asrama berkenaan berkuatkuasa hari ini adalah bertujuan untuk memudahkan kerja siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis dan polis.

"Kita (UniMAP) sudah pun mengambil langkah awal bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar yang terjejas dibantu dan kedua-dua blok dikosongkan serta diserahkan kepada Jabatan Keselamatan UniMAP untuk pemantauan selain memudahkan kerja siasatan bomba dan polis.

"Manakala semua penuntut yang terjejas dan memerlukan penginapan sudah diuruskan perpindahan sementara ke kolej kediaman yang dikenalpasti bermula jam 5 petang tadi hingga 7 malam.

"Malah, sebarang urusan keluar masuk penuntut perlulah mendapat kebenaran daripada Jabatan Keselamatan UniMAP bermula pada hari ini sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, dalam masa yang sama, pihaknya juga sedang mengumpulkan maklumat penuntut yang terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan kebajikan yang bersesuaian.

"Bantuan segera akan dibuat kepada semua penuntut terbabit meliputi aspek kewangan dan lain-lain.

"Semua penuntut terbabit dimohon untuk sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan melalui saluran yang disediakan oleh pengurusan Kolej Kediaman Pauh Putra," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 8:16 PM