Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Seorang jurukimpal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine.

Tertuduh, Mohamad Azmanuddin Embong, 23, mengangguk faham ketika dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki methamphetamine dengan berat kasar 119.03 gram di sebuah kedai basuh kereta di sini, jam 12.35 malam pada 29 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

MOHAMAD Azmanuddin Embong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine. FOTO Ghazali Kori
MOHAMAD Azmanuddin Embong dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah jenis methamphetamine. FOTO Ghazali Kori

Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 16.9 gram di alamat, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Engku Nurul Ain menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 2:55 PM