Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Buruh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51 gram, 29 November lalu.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Mohd Faizul, 20, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya disyaki methamphetamine dengan berat kasar 51 gram di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Laut, Bukit Bayas, di sini, pada 11.10 malam.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan.

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51 gram. FOTO Zatul ffah Zolkiply
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 51 gram. FOTO Zatul ffah Zolkiply

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 1:10 PM