ER Teng Ping berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas empat pertuduhan mengedar dadah. FOTO Izz Laily Hussein
ER Teng Ping berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas empat pertuduhan mengedar dadah. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah, bulan lalu.

Tertuduh, Er Teng Ping, 39, faham akan semua pertuduhan, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Bagi dua pertuduhan pertama, lelaki terbabit didakwa mengedar dadah iaitu pil erimin 5 dengan anggaran berat 36,900 gram dan pil ekstasi dengan anggaran berat 865 gram di dalam kereta yang diparkir di lorong sebelah rumah di Jalan Indah 7/9, Taman Bukit Indah di sini, jam 4.15 petang, 21 Mac lalu.

Manakala, bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar serbuk ekstasi dengan anggaran berat 5,204 gram dan kanabis dengan anggaran berat 489 gram di rumah di Jalan Indah 7/9, Taman Bukit Indah di sini, jam 3.20 petang, hari yang sama.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama

yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta minimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, tertuduh turut didakwa bagi dua lagi pertuduhan memiliki dadah berbahaya iaitu ketamin masing-masing dengan anggaran kasar 850 gram dan 53 gram.

Dia didakwa melakukan dua perbuatan itu di dalam kereta yang diparkir di lorong sebelah rumah dekat Jalan Indah 7/9, Taman Bukit Indah di sini dan di rumah dekat jalan yang sama pada jam 4.15 petang dan 3.20 petang, hari yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan mahkamah terhadap tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi laporan kimia 15 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 2:59 PM