Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Anggota polis dan seorang remaja lelaki dihadap ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah di Kota Southkey pada bulan lalu.

Tertuduh, Lans Koperal C Harethaess, 27, yang bertugas di Balai Polis Labu, Negeri Sembilan dan pemandu sambilan P Darshan, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah jenis ekstasi seberat 181.95 gram

Kesalahan didakwa dilakukan di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah pusat penjagaan kesihatan di Kota Southkey, di sini, pada 9.45 malam, 23 September lalu.

Harethaess dan remaja lelaki, Darshan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan mengedar dadah secara bersama, hari ini.
Harethaess dan remaja lelaki, Darshan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan mengedar dadah secara bersama, hari ini.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim, manakala Darshan diwakili barisan peguam, Muhammad Firdaus Adnan, Muhamad Wafiq Hadie dan Amer Ashrhaf Azuddin sementara Harethaess tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 3:28 PM