BERNAMA

Bangi: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga anak kandung kepada tertuduh wanita, minggu lalu.

Ieda Nor Esbi Baharudin, 35, dan teman lelakinya, Norazizol Baharum, 34, yang kelihatan tenang, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai Majistret.

Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

NOR Esbi (depan, tengah) bersama Norazizol (belakang, baju merah) di Mahkamah Majistret Bangi. FOTO Azhar Ramli
NOR Esbi (depan, tengah) bersama Norazizol (belakang, baju merah) di Mahkamah Majistret Bangi. FOTO Azhar Ramli

Ieda Nor Esbi dan Norazizol didakwa dengan niat bersama membunuh Zaff Zaffrul Zaiful Amiro Shah di rumah di Seksyen 2 di sini, antara 6.30 pagi dan 10.41 malam, 2 Sept lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Okt sebagai sebutan bagi serahan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 5:52 PM