RAKAN Mohd Zayn, Syafiq yang cedera. FOTO ihsan Mohd Zayn Mohd Rosli
RAKAN Mohd Zayn, Syafiq yang cedera. FOTO ihsan Mohd Zayn Mohd Rosli
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pengalaman mengujakan melihat zirafah daripada jarak dekat bertukar detik ngeri buat empat sahabat ini apabila haiwan itu didakwa bertindak agresif hingga menyebabkan dua daripada mereka cedera.

Pengalaman mendebarkan itu dikongsi Mohd Zayn Mohd Rosli, 26, di akaun Instagram ketika dia bersama tiga rakan dikenali sebagai Ash, Zuhairi dan Syafiq melawat sebuah safari di Kanchanaburi, Thailand, baru-baru ini.

Empat lelaki berkenaan bercuti Thailand selama lima hari bermula 1 Mei lalu dan mengambil keputusan ke safari itu untuk merasai sendiri pengalaman mendekati zirafah dan kuda belang yang berada di taman haiwan berkenaan.

Berkongsi kisah itu, Mohd Zayn berkata, kejadian mendebarkan itu berlaku dalam masa beberapa saat saja di depan matanya dan mengakui ia sangat mencemaskan.

Menurutnya, pada mulanya mereka menaiki bas disediakan pihak berkenaan bersama pelancong lain yang memuatkan kira-kira 15 penumpang untuk dibawa melawat sekitar taman terbabit kira-kira jam 12 tengah hari.

"Selepas itu di sebelah petang kami mengambil perkhidmatan kenderaan peribadi disediakan pihak sama (tanpa berkongsi dengan pelancong lain) untuk melawat kawasan berkenaan bagi merasai pengalaman melihat haiwan dengan lebih dekat termasuk bergambar.

"Bagaimanapun tiba-tiba sekumpulan zirafah mula bertindak agresif. Ketika itu saya berada di atas kenderaan manakala rakan memang sudah berada di bawah dirempuh haiwan berkenaan.

"Seorang kakitangan safari menjadi orang pertama dirempuh haiwan itu dan jatuh sebelum pengsan. Syafiq mengalami luka di tangan dan dia juga dipijak pada paha tetapi bernasib baik kerana ada telefon di poket seluar namun telefon pecah.

"Seorang lagi rakan, Zuhairi sempat mengelak namun kakinya tersadung menyebabkan buku lali terseliuh," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, rakannya terbaring di tanah kira-kira 10 minit sebelum dihantar ke hospital dan sebelum itu mendakwa pihak berkenaan tidak menyediakan kit bantuan kecemasan.

"Pemilik safari itu datang ke lokasi dan membawa kami ke hospital kerajaan sebelum ke hospital swasta. Saya difahamkan pekerja safari itu masih dirawat di hospital manakala rakan saya ketika ini berada dalam keadaan baik.

"Syafiq menerima rawatan susulan (di hospital di Malaysia) yang kos ditanggung oleh pihak berkenaan, manakala Zuhairi pula mengurut kakinya. Kejadian itu memang membuatkan kami trauma.

"Pemilik safari juga sudah meminta maaf dan mendakwa ia kejadian pertama sejak beroperasi 30 tahun lalu. Mereka juga menggantikan telefon rakan dengan model sama dan perjalanan di sana juga ditanggung mereka," katanya.

Menurut Mohd Zayn, perkongsian di Instagram bukan berniat untuk memburukkan atau mengada-adakan cerita kerana ia memang berlaku di hadapan matanya, malah rakannya juga cedera dalam kejadian berkenaan.

Katanya, mereka juga tidak membuat sebarang laporan polis mengenai kejadian itu dan mengakui ia sudah diselesaikan secara terbuka antara pihaknya dengan pihak berkenaan, namun mengakui kejadian itu perlu dijadikan pengajaran.

"Pemilik safari memang bertanggungjawab dan kami masih berhubung untuk perkembangan lanjut cuma saya akui kesal kerana tiada kit bantuan kecemasan disediakan di lokasi dan perkara itu juga sudah diberitahu kepada mereka.

"Saya harap selepas ini semua pihak perlu lebih berhati-hati dan penting untuk memastikan tahap keselamatan selain perlu mengikut prosedur betul terutama dalam aspek keselamatan," katanya.

Selepas kejadian itu dia difahamkan dua haiwan berkenaan tidak boleh bersama dalam satu kawasan sama selain cuaca panas yang boleh menyebabkan zirafah itu bertindak agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 6:39 PM